IWK DIIKTIRAF SEBAGAI ANTARA PENERAJU DALAM IKRAR SDG6 DI SIDANG KEMUNCAK AIR SEDUNIA 2024

Indah Water Konsortium (IWK).
24/04/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd diiktiraf sebagai antara empat peneraju utama dalam Ikrar Matlamat Pembangunan Mampan 6 (SDG6) pada Sidang Kemuncak Air Sedunia 2024 di London, United Kingdom baru-baru ini.

IWK dalam kenyataan hari ini menyebut syarikat itu mendapat pengiktirafan bersama-sama tiga syarikat lain iaitu Phnom Penh Water Supply Authority dari Kemboja, National Water & Sewerage Corporation (Uganda) dan Sanepar (Brazil).

“Pengiktirafan ini menunjukkan dedikasi dan impak global IWK yang tidak berbelah bahagi dalam usaha  ke arah mencapai komitmen SDG6 2030,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut ikrar SDG6 IWK sejajar dengan keseluruhan strategi pelan perniagaannya yang merangkumi inisiatif seperti memperluas perkhidmatan pengurusan air sisa kumbahan di Semenanjung Malaysia dan Labuan, meningkatkan kadar penerimaan terhadap perkhidmatan nyahenap cemar berjadual dan memupuk inisiatif ekonomi hijau.

Kenyataan itu memetik Pengarah Eksekutif Global Water Leaders Group William Muhairwe yang memuji IWK atas ikrar SDG6 dan usaha berterusan syarikat itu serta menjangkakan ia berpotensi sebagai penanda aras global pada masa depan.

"Pencapaian IWK dalam melayakkan mereka berada di kedudukan empat teratas daripada 300 Utiliti Air Global ketika penilaian SDG6 menandakan satu tanda aras penting dan lambang kebanggaan untuk organisasi berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu penilaian dijalankan Global Water Intelligence meneliti kredibiliti organisasi, perancangan strategi serta status pelaksanaan serta kejayaannya bersama bukti sebagai sokongan.

-- BERNAMA