PATUHI STANDARD PELANCONGAN ASEAN, TARIK LEBIH RAMAI PELANCONG - TIONG

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Roslan Abdul Rahman (tiga, kanan) menyampaikan Anugerah Gastronomy kepada Pengusaha Homestay Desa Murni Datuk Sahariman Hamdan (dua, kanan) pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan Asean 2024, hari ini.
29/04/2024 06:16 PM

CYBERJAYA, 29 April (Bernama) -- Penggiat industri pelancongan digesa supaya sentiasa mematuhi Standard Pelancongan ASEAN bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor itu sekali gus mempromosikan imej pelancongan negara yang baik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kini ada kecenderungan dalam kalangan pelancong luar negara untuk tidak menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan berdaftar disebabkan kualiti perkhidmatan segelintir pengusaha pelancongan yang lemah.

“Oleh itu pemain industri pelancongan harus bangkit memperkasakan perkhidmatan dan melahirkan inisiatif baharu demi menarik lebih ramai pelancong ke negara kita,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN 2024-2026 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman.

Tiong berkata beliau telah mengarahkan supaya sesi libat urus dengan pemegang taruh sektor berkenaan diadakan bagi mengatasi isu berkaitan kualiti pertkhidmatan pelancongan itu di negara ini.

Standard Pelancongan ASEAN merupakan suatu ketetapan piawaian oleh negara ASEAN bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan serantau  selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 untuk menjadikan ASEAN sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa.

Standard itu adalah piawaian serta panduan kepada semua negara anggota ASEAN dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pelancong.

Terdapat sembilan Standard Pelancongan sedia ada, antaranya ASEAN Green Hotel Standard, ASEAN Homestay Standard, ASEAN Community Based Tourism Standard dan ASEAN Clean Tourist City Standard.

Pada majlis hari ini, 107 pemain sektor pelancongan menerima Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN bagi tempoh 2024-2026, antaranya Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Hotel Shangri-La Rasa Sayang Resort&Spa bagi kategori ASEAN Green Hotel Standard manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi ASEAN Clean Tourist City Standard.

-- BERNAMA