IPPTAR ANJUR BENGKEL AI BERTARAF ANTARABANGSA
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Bengkel Pra-Sidang bertemakan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Penyiaran dan Produksi Televisyen menarik penyertaan 50 wakil organisasi terkemuka dalam bidang media dan penyiaran dari lebih 15 negara.
Bengkel anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sebagai rakan strategik Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) diadakan sempena Sidang Kemuncak Media Asia (AMS) ke-19 yang berlangsung dari 1 hingga 5 Sept ini.
Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin berkata dalam era transformasi digital yang pesat, kemajuan teknologi seperti AI telah membuka jalan kepada perubahan signifikan dalam industri penyiaran.
“Menyedari kepentingan ini, IPPTAR mengambil inisiatif untuk menganjurkan bengkel ini sebagai satu platform pertukaran maklumat, pengetahuan dan kepakaran dalam usaha mengintegrasikan AI dalam penyiaran dan produksi televisyen.
“Selain bengkel utama ini, terdapat enam lagi bengkel Pra-Sidang yang dijalankan serentak di IPPTAR selama dua hari dengan penyertaan 200 peserta,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan bengkel itu hari ini.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Roslan berkata pelbagai topik menarik dalam bidang penyiaran dan media akan dibincangkan semasa bengkel berkenaan melibatkan pakar-pakar AI dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, beliau berkata AMS adalah persidangan media antarabangsa berprestij yang menarik kehadiran lebih 500 peserta terdiri daripada penyiar, media tempatan dan antarabangsa, profesional industri, ahli akademik serta pemegang taruh dari dalam dan luar negara.
Roslan berkata acara kemuncak AMS akan dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Selasa ini di Brickfields Asia College (BAC), Petaling Jaya.
-- BERNAMA