TANGANI BULI SIBER PENTING, WANITA DAPAT CEBURI BIDANG ICT DENGAN SELAMAT - TEO

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pra-Summit Pembukaan Pemerkasaan Belia : Menyambut Gadis Dalam Hari ICT Malaysia 2024 di Menara BAC.
02/09/2024 09:39 PM

PETALING JAYA, 2 Sept (Bernama) -- Menangani buli siber bukan sahaja melindungi individu, tetapi juga membuka laluan kepada lebih ramai wanita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tanpa rasa takut terhadap gangguan dalam talian, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap buli siber dan langkah sewajarnya untuk mencegah jenayah itu dengan berkesan selain bekerjasama dengan pihak berkaitan.

"Ketika kita meraikan pencapaian gadis dan wanita dalam bidang ICT, adalah penting untuk menangani isu pembuli siber yang mendesak ini. Sebagai peneraju teknologi masa depan, saya menggalakkan anda untuk memanfaatkan kemahiran, kreativiti dan kepakaran untuk memerangi masalah ini," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (tengah) bergambar bersama tetamu selepas merasmikan Bengkel Pra-Summit Pembukaan Pemerkasaan Belia : Menyambut Gadis Dalam Hari ICT Malaysia 2024 di Menara BAC hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Youth Empowerment: Celebrating Girls in ICT Day Malaysia 2024 Pre-summit Workshop bersempena dengan Sidang Kemuncak Media Asia ke-19 di sini hari ini.

Teo berkata kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas terdiri daripada pakar daripada empat kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Digital.

"Bersama-sama, kita menjalankan kajian menyeluruh terhadap Kanun Keseksaan untuk memperkukuh rangka kerja undang-undang dan meningkatkan keupayaan untuk memerangi buli siber dengan berkesan.

"Selain itu, kita juga memperkenalkan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih dipercayai dan selamat bagi semua," katanya.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terlibat secara aktif dengan penyedia perkhidmatan dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi menangani pelbagai isu, terutamanya keselamatan dalam talian.

"Sejak dilantik sebagai timbalan menteri, saya bertemu dengan syarikat ini sebanyak 13 kali, terakhir dengan Meta pada April. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga mengutamakan isu ini, termasuk pertemuan dengan Meta dan platform media sosial lain semasa lawatannya ke Singapura baru-baru ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata jumlah wanita dalam tenaga kerja teknologi di Malaysia semakin meningkat iaitu 35 peratus wanita bekerja dalam bidang berkaitan teknologi pada 2021.

Beliau berkata dengan minat yang semakin meningkat dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan ICT dalam kalangan wanita muda, diharapkan trend itu akan berterusan dan membawa kepada penyertaan golongan itu yang lebih ramai.

Bagaimanapun, katanya untuk berjaya dalam era digital masa kini, adalah penting untuk menerima revolusi digital melalui kemahiran seperti pengekodan dan pembangunan aplikasi.

"Kemahiran ini sama penting dengan pendidikan tradisional dalam mempersiapkan kita untuk penyelesaian masalah dan hubungan sosial. Menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin untuk memastikan semua termasuk gadis dan wanita, dapat mengikuti revolusi digital ini.

"Saya komited untuk menyediakan wanita dengan setiap peluang melalui akses Internet mampu milik, mewujudkan peluang latihan, dan meneruskan minat mereka dalam ICT," katanya.

-- BERNAMA