MALAYSIA AKAN PERTINGKAT KERJASAMA DENGAN RUSIA DALAM SEMUA BIDANG - PM ANWAR
Oleh Niam Seet Wei
VLADIVOSTOK (Russia), 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju bahawa potensi sebenar hubungan Malaysia-Rusia belum dimanfaatkan sepenuhnya, komited untuk mempertingkatkan kerjasama dengan negara itu dalam semua bidang.
“Saya pastinya berharap untuk mempunyai hubungan yang lebih baik, kerjasama peribadi dan kerajaan, semua bidang (dengan Rusia),” kata Anwar semasa pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di sini, hari ini.
Pertemuan dua hala itu bersempena dengan lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia dan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan, esok.
Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memberi jaminan kepada Putin bahawa, sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, beliau akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama kumpulan serantau itu dengan Rusia dalam semua bidang.
“Seperti yang anda tahu, ASEAN sentiasa menjalin hubungan dengan Rusia dan kami mempunyai perdagangan terbuka yang memfokuskan kepada semikonduktor atau dalam beberapa bidang berkaitan.
“Tentu sekali, kami di ASEAN menantikan penyertaan anda (pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025),” katanya.
Anwar akui potensi besar Rusia dan sebagai negara terbesar dunia, ia telah menunjukkan keazaman untuk menghadapi pelbagai kesukaran dan mengatasinya.
“Jika anda boleh berkongsi perkara ini dalam kerjasama (kita)...kami pasti akan mendapat manfaat daripada pengalaman ini,” katanya.
Pada pertemuan itu, Anwar mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Putin secara peribadi, kerana bertemu dengannya walaupun mempunyai jadual yang padat.
“Kami, tentunya berharap untuk mempunyai program susulan yang efektif supaya perbincangan (hari ini) tidak berakhir di sini. Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda dan pasukan anda,” katanya.
Pada pertemuan itu, Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dan pegawai kanan.
Ini lawatan pertama Anwar ke Rusia, dan pertemuan pertamanya dengan presiden negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
-- BERNAMA