MALAYSIA AKAN HADIRI SIDANG KEMUNCAK BRICS PADA 22 HINGGA 24 OKT - PM ANWAR

kredit: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim
04/09/2024 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia menerima jemputan Rusia untuk menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia pada 22 hingga 24 Okt, 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jemputan yang disampaikan oleh Presiden Vladimir Putin sendiri semasa sesi makan malam kerja merupakan bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Rusia.

“Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata beliau menerusi catatan di media sosial pada Rabu mengenai lawatan dua hari ke Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan.

BRICS adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada sesi pleno EEF pada Khamis.

Anwar berkata semasa perbincangan itu, beliau dan Putin menyatakan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Rusia.

“Ketika Malaysia terus memperluas ruang geoekonomi dan mempelbagaikan hubungan strategik, Rusia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi kita untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata daripada kewangan Islam sehingga pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Rusia saling memanfaatkan kepakaran demi manfaat bersama rakyat adalah amat besar.

“Apabila kita membina komitmen dan visi bersama yang dibincangkan semasa lawatan ini, saya optimistik bahawa asas yang diletakkan hari ini akan membawa kepada kerjasama yang bermakna antara Rusia dan Malaysia pada masa akan datang,” kata beliau.

-- BERNAMA