PELUANG LUAS KEMBANG PERDAGANGAN DENGAN MALAYSIA - PUTIN
Daripada Niam Seet Wei
VLADIVOSTOK (Rusia), 5 Sept (Bernama) -- Perdagangan antara Rusia dan Malaysia hampir mencecah US$3.5 bilion (US$1= RM4.3505) dan mempunyai peluang luas untuk mengembangkannya, kata Presiden Rusia Vladimir Putin.
Menurut Kremlin.ru, Putin dilaporkan berkata Rusia dijangka mencari titik hubungan baharu dengan ASEAN apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2025.
“Kami telah memberi tumpuan untuk membangunkan hubungan kami dengan ASEAN, dan semua tahu bahawa Malaysia memainkan peranan utama dalam pertubuhan ini.
“Tahun depan, Malaysia akan mempengerusikan pertubuhan ini dan saya jangka semasa kepengerusian anda, kami akan menemui titik hubungan baharu dengan rantau dunia yang semakin berkembang,” menurut Kremlin.ru memetik kenyataan presiden itu pada Rabu (4 September).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin di sini pada Rabu.
Pertemuan dua hala itu adalah bersempena dengan lawatan kerja dua hari Anwar di sini dan Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan lewat hari ini.
-- BERNAMA