FADILLAH LAWAT ACE DALAMI KERJASAMA PEMBANGUNAN TENAGA ASEAN

05/09/2024 10:10 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan lawatan ke ibu pejabat Pusat Tenaga ASEAN (ACE) di sini untuk mengetahui perancangan pusat berkenaan bagi membentuk kerjasama pembangunan tenaga dalam kalangan negara-negara ASEAN, terutamanya dari segi pembangunan Grid Kuasa ASEAN. 

Beliau berkata taklimat itu membolehkan Malaysia  mendapatkan maklumat awal untuk persediaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025. 

“Ia merupakan bidang keutamaan yang akan dibawa semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025,” katanya dalam hantaran di akaun rasmi Facebook pada Khamis.

Ditubuhkan pada 1 Januari 1999, ACE ialah organisasi antara kerajaan dalam struktur ASEAN yang mewakili kepentingan 10 negara anggota ASEAN dalam sektor tenaga.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air turut makan tengah hari bersama Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng.

Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai sektor termasuk berkaitan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) antara Malaysia dan Singapura.

Sebelum ini, beliau mengadakan perbincangan bersama Penasihat Khas Kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Selwin Hart di Pusat Konvensyen Jakarta.

"Dalam perbincangan kira-kira 30 minit itu, kami bertukar pandangan berkaitan tenaga suria, peralihan tenaga, suria dan biomas melibatkan usaha yang dilakukan kerajaan melalui PETRA," katanya.

Fadillah bersama rombongan tiba di sini pada Rabu untuk menghadiri Forum Kelestarian Antarabangsa (ISF) Indonesia 2024 bermula dari 5 hingga 6 September atas jemputan Kerajaan Indonesia.

-- BERNAMA