KEDAH MAHU TEROKA KERJASAMA LEBIH JAUH BERSAMA NAFAS TINGKAT PENGELUARAN PADI
GURUN, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kedah berhasrat untuk meneroka lebih jauh peluang kerjasama bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi meningkatkan pengeluaran padi di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata langkah itu bukan saja dalam pengeluaran baja berkualiti tinggi menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) malah bidang lain yang berkaitan.
"Baru-baru ini telah berlangsung sidang kemuncak SG4 melibatkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang bergabung dalam satu inisiatif pembangunan ekonomi serantau, bertujuan memaksimumkan potensi ekonomi dan memacu pertumbuhan empat negeri ini secara berfokus melibatkan kelebihan serta kekurangan masing-masing bagi membantu antara satu sama lain.
"Saya melihat negeri-negeri SG4 ini mempunyai kekuatan yang amat ketara dalam sektor pertanian terutama pengeluaran makanan seperti padi serta buah-buahan. Kedah umpamanya mengeluarkan 43 peratus daripada keperluan beras negara.
"Dalam konteks ini saya amat yakin NAFAS dan Malaysian NPK Fertilizer perlu memanjangkan lagi langkah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri meningkatkan kemajuan dalam sektor ini," katanya ketika berucap pada Majlis Lawatan Kerja Menteri Besar ke MNFSB di sini hari ini..
Turut hadir, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob, Ketua Pegawai Eksekutif MNFSB Abd Halim Hamzah dan pengurusan NAFAS.
MNFSB yang merupakan syarikat usahasama NAFAS dan Petronas Chemical Fertilizer Kedah Sdn Bhd (PCFKSB) telah mengorak langkah dalam inovasi baja dengan penggunaan formulasi baharu yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Usaha itu telah dilaksanakan bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui program Smart SBB Asnaf kelolaan LZNK selama dua musim dan akan diteruskan untuk musim akan datang sebagai satu daripada komponen Gelombang Padi Kedah.
Menurut MNFSB penggunaan formulasi tersebut telah mencatatkan peningkatan dan konsistensi hasil bagi keseluruhan kawasan yang berjumlah 200 hektar.
Dalam konteks Kedah, MNFSB terus komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan meneruskan usaha inovasi yang mampu meningkatkan hasil padi negeri ini sesuai dengan jolokan Negeri Jelapang Padi.
-- BERNAMA