BAS AUTONOMI 5G ANTARA DIPAMERKAN SEMASA MALAYSIA AMBIL PERANAN PENGERUSI ASEAN TAHUN DEPAN - GOBIND
PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Penggunaan 5G dalam inisiatif bas autonomi adalah sebahagian daripada 40 kes penggunaan 5G yang akan dipamerkan semasa Malaysia mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata bas autonomi yang dipamerkan hari ini adalah hasil kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB), penyedia rangkaian 5G negara, syarikat teknologi Ericsson dan pemaju penyelesaian kenderaan autonomi tempatan eMooVit Technology Sdn Bhd.
"Integrasi aplikasi 5G dalam kenderaan awam autonomi seperti yang ditunjukkan hari ini akan dapat meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk pengguna, membolehkan mereka berasa lebih selamat dan kekal berhubung dengan lebih baik.
"Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara digital, teknologi digital seperti 5G boleh meningkatkan perkhidmatan awam, perniagaan serta komuniti dengan ketara," katanya pada sidang media selepas demonstrasi itu, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan ketua pegawai eksekutif eMooVit Dr Hairi Zamzuri.
Gobind berkata kolaborasi yang dilaksanakan selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DNB, Ericsson dan eMooVit pada Mei 2024 itu, menyiapkan tempoh percubaan yang merangkumi perjalanan sejauh 1,000 kilometer.
Ia melibatkan percubaan bukti konsep bagi kes penggunaan 5G seperti sambungan wi-fi awam 5G dalam kenderaan, pemantauan kenderaan jauh tepat masa dan pengumpulan log perjalanan serta menyelesaikan ujian sejauh 1,000 kilometer.
"Apabila dikomersialkan kes penggunaan ini, yang termasuk televisyen litar kos dalam kenderaan (CCTV) dan pemantauan data telemetri tepat masa, ia akan menjadikan perjalanan bas autonomi ini lebih selamat dan lebih dipercayai bagi penumpang, di samping membantu meningkatkan kecekapan kos untuk pengusaha bas," katanya.
Beliau berkata pengangkutan awam autonomi sedang diuji dan digunakan di banyak bandar di seluruh dunia, dari Shanghai ke Hamburg, dan pada Mei 2024 United Kingdom (UK) memperkenalkan Akta Kenderaan Automatik yang menyaksikan kenderaan pandu sendiri berada di atas jalan raya menjelang 2026 .
“Sekarang kita dapat lihat teknologi yang sama dibangunkan di Malaysia oleh sebuah syarikat Malaysia. Setiap sistem kenderaan autonomi disesuaikan dengan keadaan jalan raya dan trafik, permintaan penumpang dan undang-undang tempatan," katanya.
Gobind berkata ketersambungan 5G yang baik menjadikan kenderaan berautonomi satu realiti, dan Malaysia sudah mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk memastikan penggunaannya yang boleh dipercayai dengan rangkaian semasa berfungsi sebagai tulang belakang.
"Rangkaian 5G Malaysia yang digunakan oleh DNB kini meliputi 82 peratus kawasan berpenduduk pada akhir Ogos. Ia telah diiktiraf di peringkat global sebagai satu daripada yang terbaik di rantau ini, malah terbaik di dunia," katanya.
Sementara itu Loke berkata pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan perlu dilakukan memandangkan kenderaan autonomi digerakkan tanpa pemandu.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia memudahcara penggunaan bas autonomi di atas jalan raya seiring dengan pengkomersialan dengan meminda beberapa undang-undang ke arah pendigitalan kenderaan.
"Kita perlu bersikap terbuka dalam perkara ini kerana ini perkembangan teknologi di seluruh dunia yang perlu juga kita mengambil langkah untuk melihat ke hadapan, kerana mungkin dalam 10 atau 20 tahun akan datang kebanyakan sistem pengangkutan tidak lagi menggunakan manusia sebagai pemandu," katanya.
Hairi pula berkata bas automoni akan memulakan percubaan perkhidmatan penumpang bermula 23 Sept ini di Putrajaya sebagai satu daripada inisiatif untuk memperkenalkan teknologi kenderaan tanpa pemandu di Malaysia.
-- BERNAMA