LANGKAH KONKRIT PERLU DIAMBIL DI SETIAP KAWASAN PARLIMEN UNTUK CAPAI MATLAMAT SDG - SERI

Nurul Izzah Anwar
17/09/2024 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), langkah-langkah konkrit perlu diambil di setiap kawasan, termasuk kawasan Parlimen, kata Pengerusi Social Economic Research Initiative (SERI) Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah menekankan bahawa pembangunan yang tidak terkawal dan perubahan iklim ekstrem memerlukan perhatian serius.

"Apabila pembangunan berlangsung tanpa mekanisme adaptasi iklim yang betul, ia boleh mengakibatkan banjir yang meranapkan harta benda, termasuk di semua negeri.

"Masyarakat perlu diingatkan bahawa setiap pembangunan perlu disertai dengan langkah-langkah mekanisme untuk mengadaptasi iklim, supaya apabila hujan turun, ia tidak tersekat dan akhirnya mengalir ke rumah kita,” katanya kepada pemberita di Sidang Kemuncak SDG 2024 hari ini.

Menyentuh tentang sasaran SDG, Nurul Izzah berkata sasaran SDG yang pertama ialah untuk menyahkan kemiskinan.

Katanya, penting untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti di pelbagai tempat, seperti kawasan program perumahan rakyat (PPR) yang mempunyai cabaran berbeza berbanding dengan kawasan desa, termasuk Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

"Justeru, apabila kita menggunakan kaedah terkini untuk mengukur secara spesifik, ia dapat memenuhi keperluan rakyat dari segi akses kepada pendidikan.

"Sekarang ini, mungkin anak-anak kurang minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Namun, dengan mempelajari STEM, diharapkan mereka dapat memperoleh kerjaya yang mampu membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

-- BERNAMA