BAHASA MELAYU BERPOTENSI SEBAGAI BAHASA KEDUA ASEAN
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bahasa Melayu, yang pernah menjadi lingua franca dalam perdagangan dan pentadbiran di seluruh Nusantara, berpotensi diiktiraf sebagai bahasa kedua ASEAN.
Berharap cadangan itu dapat direalisasi, aktivis Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, berkata Bahasa Melayu telah lama berfungsi sebagai bahasa serantau yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang termasuk dari China dan India untuk tujuan urusan perdagangan serta pentadbiran.
"Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah lama digunakan sebagai bahasa utama dalam perdagangan di rantau ini.
"Pada zaman penjajahan, penjajah dari Belanda dan Inggeris terpaksa mempelajari Bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan bahkan pegawai dari kedua-dua negara ini dilatih dalam Bahasa Melayu sebelum mereka dihantar ke Nusantara.
"Ini menunjukkan betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi lintas budaya," katanya dalam sidang bertajuk 'Menjadikan Bahasa Melayu Bahasa ASEAN' pada Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-3 di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata usul untuk mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN mendapat sokongan pelbagai pihak dengan lebih 60 peratus penduduk rantau ini seperti Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia berkongsi bahasa tersebut walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam dialek serta kosa kata.
Mengambil contoh Kesatuan Eropah yang menghormati dan mengiktiraf pelbagai bahasa dalam urusannya, Tian Chua berkata langkah sama boleh diambil untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai antara bahasa rasmi ASEAN.
Penyelidik Kanan Sarawak Dr Gabriel Walter, yang juga moderator sesi itu, pula berkata Bahasa Melayu berjaya menyatukan pelbagai kaum di Sarawak walaupun terdapat bahasa tempatan lain seperti Iban dan Kelabit.
"Saya melihat Bahasa Melayu begitu efektif di Sarawak dalam menyatukan penduduk dan mereka lebih banyak menggunakan bahasa ini berbanding Bahasa Inggeris," katanya.
Malaysia sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk berbincang dengan para pemimpin ASEAN mengenai cadangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dalam usaha memperkasakan ia di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA