MALAYSIA DAN SINGAPURA RAKAN BAIK, SALING BEKERJASAMA ERAT - PM ANWAR
ISKANDAR PUTERI, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Singapura adalah rakan yang baik dan hubungan ini tidak seharusnya terganggu oleh sebarang isu yang timbul antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kedua-dua negara telah bekerjasama dalam banyak perkara sepanjang sejarah walaupun mempunyai pergeseran kecil dan boleh terus menjadi rakan yang lebih baik pada masa hadapan sambil mendapat manfaat daripada situasi sama-sama menang.
"Kita (Malaysia dan Singapura) sudah tentu mempunyai masalah. Semua orang mempunyai masalah dengan jiran mereka, tetapi ia adalah perkara kecil dan boleh diatasi.
"Ini tidak seharusnya terpesong daripada tumpuan bahawa kedua-dua negara perlu berjaya. Kedua-duanya (adalah) rakan yang hebat dan boleh menjadi rakan yang lebih hebat apabila kita bekerjasama dan mendapat manfaat dalam situasi sama-sama menang.
“Sebab itulah saya teruja untuk bekerjasama dengan Singapura, dan sudah tentunya memberi keutamaan kepada kerjasama ASEAN yang kami, Malaysia, akan menjadi pengerusi tahun depan,” kata beliau dalam ucap tama pada acara Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri, di sini ,hari ini.
Anwar berkata ASEAN adalah rantau yang aman di dunia ini dengan aktiviti ekonomi yang rancak dan dianggap sebagai salah satu rantau berkembang paling pesat dengan kadar kemajuan yang belum pernah dicatatkan sebelum ini.
Perdana Menteri menggesa agar lebih banyak inisiatif baharu diperkenalkan untuk menarik pelaburan dan memastikan kejayaan berterusan kedua-dua negara.
Beliau berkata Malaysia gembira dengan kerjasama antara Singapura dan Johor dan juga dalam kerangka ASEAN.
"Kita mencapai kejayaan hasil daripada kerjasama yang berkesan, peningkatan hubungan dua hala dan kepercayaan yang semakin tinggi antara pemimpin, masyarakat umum dan komuniti perniagaan,” kata beliau.
Sementara itu mengenai makroekonomi, Anwar berkata Malaysia beruntung kerana memulakan tahun ini dengan kedudukan ekonomi yang kukuh.
“Kita (telah) mengatasi unjuran KDNK (keluaran dalam negara kasar) pada dua suku pertama dan suku ketiga kelihatan menjanjikan prospek yang baik.
"Ringgit mencatatkan prestasi yang amat baik, manakala Bursa Malaysia mengatasi prestasi bursa serantau lain..dan permodalan pasaran yang jauh melepasi paras RM2 trilion pada Mei 2024," kata Anwar.
Edisi utama Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri kali ini dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan dihoskan bersama dengan Maybank, CIMB Securities (CIMB) dan HSBC Malaysia (HSBC).
Persidangan sehari yang bertemakan “Where Policy Meets Progress” itu menampilkan Iskandar sebegai pintu masuk utama di wilayah selatan negara, mengetengahkan pembangunan mega dengan tumpuan utama kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dam tawaran insentif menarik lain kepada pelabur.
--BERNAMA