VIENTIANE BERSIAP SEDIA UNTUK SIDANG KEMUNCAK ASEAN
Daripada Rosmalis Anuar
VIENTIANE, 5 Okt (Bernama) -- Laos sedang giat membuat persiapan bagi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan dari 8 hingga 11 Okt.
Bendera negara-negara yang mengambil bahagian dipamerkan di mercu tanda terkenal sekitar Vientiane, menambah warna-warni penuh ceria di jalan-jalan bandar yang melambangkan perpaduan dan kerjasama negara-negara ASEAN sepanjang sidang kemuncak itu.
Di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), persiapan akhir sedang dijalankan menjelang ketibaan para pemimpin dan delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama yang akan menghadiri acara ini.
Sidang kemuncak ini dijangka membincangkan pelbagai isu politik, ekonomi dan keselamatan sambil mempromosikan kerjasama serta pembangunan serantau.
Antara isu utama yang dijangka menjadi tumpuan termasuk keselamatan dan kestabilan serantau, terutamanya ketegangan di Laut China Selatan serta krisis di Myanmar, cabaran ekonomi rentas sempadan dan perubahan iklim.
Ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, yang dicetuskan oleh pencerobohan Israel ke atas Lubnan, serangan peluru berpandu Iran ke atas musuh serantaunya, serta perang yang berterusan di Gaza juga dijangka menjadi topik utama perbincangan dalam sidang terbabit.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) akan membuka tirai pada 8 Okt, manakala Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung pada 9 Okt.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sidang itu.
Pada 11 Okt, Laos akan secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.
Sebelum ini, Laos pernah mempengerusikan ASEAN pada 2016 dan 2004.
-- BERNAMA