MOHAMAD, TENGKU ZAFRUL TIBA DI VIENTIANE UNTUK SIDANG KEMUNCAK ASEAN

06/10/2024 11:05 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 6 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Kedua-dua menteri berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada 7.45 malam waktu tempatan (8.45 malam waktu Malaysia).

--fotoBERNAMA (2024)

Sidang kemuncak berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di ibu negara Laos dari 8 hingga 11 Okt.

Lebih 2,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak itu terdiri daripada ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota ASEAN, negara rakan dialog, serta negara rakan luar termasuk wakil dari organisasi serantau dan antarabangsa.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN akan secara rasmi memulakan sidang kemuncak pada 8 Okt, manakala majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan pada 9 Okt.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sidang kemuncak itu.

Pada 11 Okt, Laos akan secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

-- BERNAMA