MALAYSIA MAHU BAWA ASEAN MENUJU KEDUDUKAN LEBIH BAIK
PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia akan memainkan peranan membawa ASEAN ke satu kedudukan yang lebih baik sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini di Vientiane, Laos dan akan menerima kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 11 Okt.
“Malaysia akan secara rasminya menerima kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan sudah pasti kepengerusian ASEAN ini bagi tahun 2025 adalah satu perkara yang cukup dinantikan.
“Malaysia akan mainkan peranan untuk pastikan ASEAN itu sendiri berada pada satu kedudukan yang lebih baik. Insya-Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sementara itu, Fahmi berkata Malaysia kekal dengan pendirian untuk memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.
“Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA