ANWAR, XANANA BINCANG KEMASUKAN TIMOR-LESTE SEBAGAI ANGGOTA TETAP ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) bertemu Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao pada Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia dan Timor-Leste sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional, hari ini. Turut serta, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (tiga, kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud (kiri). -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
09/10/2024 10:27 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.

Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan di Pusat Persidangan Kebangsaan (NCC) itu mengenai permohonan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan, dua kiri) bertemu Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao (belakang, dua kiri) pada Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia dan Timor-Leste sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional, hari ini. Turut serta, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (belakang, kiri), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (belakang, dua kanan) dan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud (belakang, kanan). --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan lebih kurang 15 minit ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di NCC.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.

Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.

-- BERNAMA