PM ANWAR LUANG MASA BERAMAH MESRA BERSAMA DELEGASI MALAYSIA DI VIENTIANE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika meluangkan masa bersama delegasi Malaysia dalam majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di sini, malam ini. Turut serta, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Majlis makan malam yang diadakan di kediaman Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud dihadiri kira-kira 50 petugas dari beberapa kementerian dan petugas media dari Malaysia yang terlibat dengan persidangan kali ini.
10/10/2024 12:00 AM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) --Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan meluangkan masa beramah mesra bersama delegasi Malaysia dalam majlis makan malam di sebalik kesibukan mesyuarat dan pertemuan dua hala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.

Majlis makan malam tersebut diadakan di kediaman Duta Besar Malaysia ke Laos, Edy Irwan dan bermula pada pukul 8.30 malam sejurus selepas Perdana Menteri selesai mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut hadir dalam majlis makan malam tersebut bersama Perdana Menteri.

Selain itu, kira-kira 50 petugas dari beberapa kementerian dan petugas media dari Malaysia yang terlibat dengan persidangan kali ini turut diraikan dalam majlis berkenaan.

Antara hidangan yang disajikan termasuklah cekodok pisang, karipap kentang, sotong goreng telur masin, ikan bakar, kuih nyonya dan teh tarik yang disediakan oleh chef warga Malaysia.

Anwar, yang tiba di Vientiane pada malam Selasa turut akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pemimpin ASEAN serta rakan dialog termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken turut menghadiri sidang-sidang tersebut.

Sidang kemuncak ini dijadualkan berakhirJumaat ini dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia dalam majlis penutupan.

Menurut Wisma Putra, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam majlis tersebu, dan Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

 

-- BERNAMA