ANWAR MINTA INSTITUSI PARLIMEN ASEAN BERI RUANG KEPADA AHLI LUAH PANDANGAN - JOHARI

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ditemui media Malaysia selepas sesi suai kenal antara pemimpin-pemimpin dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini semalam, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.
10/10/2024 10:42 AM

Oleh Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Institusi Parlimen negara-negara anggota ASEAN supaya memberi ruang yang lebih luas kepada ahlinya untuk meluahkan pandangan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata perkara itu dinyatakan oleh perdana menteri dalam sesi suai kenal antara pemimpin-pemimpin dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini semalam, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Johari yang mewakili Parlimen Malaysia pada sesi tertutup itu berkata Anwar menyentuh perkara berkenaan bagi menggalakkan Ahli Parlimen ASEAN menyampaikan idea baharu tanpa sekatan ke arah mencapai matlamat menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia.

"Kita harus bersedia menerima hakikat bahawa di luar ASEAN, masalah sedang membengkak... namun kita perlu memperkukuh kedudukan kita. Lebih-lebih lagi dengan jumlah penduduk ASEAN yang kini mencecah 680 juta, kita harus memanfaatkan potensi ini," katanya kepada media Malaysia ketika ditemui selepas sesi berkenaan.

Johari yang bakal mengambil alih jawatan Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada 18 Okt ini, berkata sesi itu turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan baik antara semua kerajaan ASEAN dengan dewan perwakilan negara masing-masing bagi memastikan keluhan rakyat mendapat respons daripada peringkat eksekutif.

Johari berkata isu keselamatan dan kerjasama serantau juga dibincangkan bagi memperkukuh kedudukan Asia Tenggara sebagai zon aman dan berkecuali, supaya dapat menarik lebih banyak pelaburan asing.

"Kita bincangkan bagaimana kawasan ini harus menjadi neutral, tidak berpihak kepada mana-mana," katanya, sambil menambah bahawa krisis di Myanmar turut disentuh dalam sesi berkenaan yang menekankan kepentingan libat urus dengan semua pihak terlibat bagi memperbaiki keadaan.

Mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Johari berkata Malaysia harus meninggalkan legasi yang boleh dibanggakan semasa menerajui blok serantau tersebut.

"Kita mahu menjadi pengerusi yang tercatat dalam sejarah sebagai penganjur antara persidangan terbaik yang pernah diadakan oleh ASEAN, dan kita doakan agar Timor-Leste diterima sebagai ahli penuh ASEAN," katanya.

Ketika ini, Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu kota Laos ini dibuka secara rasmi semalam dan akan berlangsung hingga Jumaat.

Pada majlis penutupan sidang kemuncak tersebut, Laos selaku Pengerusi ASEAN akan secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia. Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA