ACF2024: PERKUKUH USAHA MITIGASI KARBON DI PERINGKAT SERANTAU - NIK NAZMI

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad
10/10/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Penganjuran ASEAN Carbon Forum 2024 (ACF2024) yang pertama diadakan di sini semalam menjadi platform untuk negara-negara anggota ASEAN berkongsi usaha dalam meningkatkan mitigasi karbon peringkat serantau serta meneroka potensi kerjasama.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata forum itu menjadi pemangkin untuk wacana Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF), satu daripada inisiatif yang dapat dioperasikan sebagai Strategi ASEAN untuk Neutral Karbon apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan.

“Forum ini sememangnya tepat pada masanya kerana Malaysia bercadang untuk membangunkan sistem pengkreditan karbon nasional tersendiri dan meneroka pilihan dalam pasaran karbon pematuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerangka itu diharapkan dapat membuka peluang projek karbon yang unik untuk ASEAN dan pada masa yang sama, mencipta isyarat permintaan yang lebih kuat.

Nik Nazmi berkata bahawa ini akan dilakukan melalui pasaran karbon yang saling beroperasi di rantau ini, sekali gus mencipta pasaran yang lebih besar untuk penawaran dan permintaan karbon.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Malaysia Forest Fund telah menganjurkan ACF2024-Development of Crediting Programme and Carbon Project dengan kerjasama World Bank Group dan Permian Malaysia bersempena dengan International Greentech and Ecoproduct Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), melalui Malaysia Forest Fund, telah menganjurkan ACF2024 - Development of Crediting Programme and Carbon Project. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama World Bank Group dan Permian Malaysia, bersempena dengan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penganjurannya untuk memulakan wacana mengenai pengkreditan karbon dalam konteks serantau menyaksikan penyertaan yang tinggi daripada negara-negara anggota ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Ia juga disertai oleh pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kementerian, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perunding projek, pemaju projek, badan validasi dan pemverifikasi, badan pengkreditan karbon, serta ahli akademik

Sebelum ini, Bursa Malaysia telah memperkenalkan konsep ACCF yang dimulakan oleh Kumpulan Kerja Pasaran Karbon di bawah Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC-MY).

-- BERNAMA