MALAYSIA GALAKKAN KOLABORASI TRANSFORMASI DIGITAL ANTARA ASEAN, JEPUN, KOREA SELATAN
Daripada Rosmalis Anuar
VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia menggalakkan kerjasama strategik dalam transformasi digital antara negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialognya Jepun serta Korea Selatan pada Sidang Kemuncak Plus One blok itu, di sini hari ini.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengetengahkan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama dalam rantaian bekalan dan kemajuan kecerdasan buatan antara blok negara 10 anggota itu dan Jepun.
Sementara itu pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 pula, Perdana Menteri berkata kerjasama digital itu harus merangkumi pembinaan kapasiti, peningkatan kemahiran dan kepelbagaian strategik sumber manusia.
“Dalam meraikan ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan, Malaysia mengalu-alukan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan,” katanya.
Perkara-perkara yang disentuh oleh Anwar di dua sidang kemuncak itu disampaikan kepada media oleh Pejabat Perdana Menteri.
Jepun diwakili oleh Perdana Menterinya yang baru dilantik Shigeru Ishiba, manakala Korea Selatan diwakili oleh Presidennya Yoon Suk Yeol.
Sementara itu Anwar berkata Malaysia menyokong penyatuan aman Semenanjung Korea termasuk inisiatif yang diumumkan pada 15 Ogos lepas.
Media sebelum in melaporkan Presiden Korea Selatan Yoon melancarkan visi untuk penyatuan dengan Korea Utara pada 15 Ogos, dan berjanji untuk mengembangkan maklumat luar di negara itu dan mencadangkan saluran dialog rasmi yang boleh "menangani sebarang isu."
Sidang Kemuncak ASEAN Plus One diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula semalam, dan akan berterusan hingga esok.
-- BERNAMA