IGEM BAKAL DIPERLUAS MELANGKAUI PENDEKATAN BERTERASKAN PERNIAGAAN
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM) edisi akan datang bakal diperluas melangkaui pendekatan berteraskan perniagaan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata edisi IGEM akan datang antara lain akan turut merangkumi acara yang menumpukan kepada dasar dan perkongsian idea.
“Tahun lepas kami menghasilkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), mengkaji semula Dasar Perubahan Iklim Negara dan di fasa akhir untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Kerangka Pasaran Karbon," katanya selepas majlis perasmian IGEM 2024 di sini hari ini.
IGEM 2024 yang dirasmikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap ekonomi hijau apabila negara bersiap sedia untuk COP29, kepengerusian ASEAN pada 2025 dan Expo 2025.
Nik Nazmi berkata edisi IGEM tahun ini memperkenalkan beberapa sorotan baharu yang memperlihatkan komitmen untuk menggalakkan inovasi dan kerjasama.
Beliau berkata ia menampilkan zon industri yang mengkhususkan teknologi hidrogen dan karbon, Central Energy Transition Asia (CETA) selain pameran berkaitan Mobility X.
Nik Nazmi berkata sejak 15 tahun lepas IGEM berperanan sebagai platform penting dan edisi 2024 ini akan mengukuhkan lagi kepimpinan di rantau ini dalam menangani cabaran yang dicetuskan oleh perubahan iklim.
IGEM tahun ini dijangka memperluas lagi pengaruhnya di peringkat global dengan penyertaan 480 pempamer dari 48 negara dan 48,000 peserta, mencapai pasaran baharu di Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara.
Bertemakan ‘Race Towards Net Zero: Regional Leadership for Climate Urgency,’ penganjuran edisi 2024 berdasarkan lima teras utama iaitu memperkasakan bandar, mengelektrifikasi mobiliti, menyahkarbonkan tenaga, memulihara biodiversiti, dan accelerating circularity.
-- BERNAMA