MALAYSIA SERU PENDEKATAN DIPLOMATIK DALAM ISU LAUT CHINA SELATAN
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia menegaskan bahawa pendekatan diplomatik dan kerjasama melalui ASEAN adalah cara terbaik untuk menangani pertikaian di Laut China Selatan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa walaupun China mendakwa sebahagian besar kawasan Laut China Selatan sebagai miliknya, Malaysia turut berpandukan undang-undang antarabangsa dalam menegaskan hak maritimnya.i
"Kami juga berpegang kepada undang-undang antarabangsa, sama seperti China. Namun, apa yang penting ialah kita sentiasa menggunakan saluran diplomasi dan tidak menutup pintu perbincangan," katanya kepada pemberita Malaysia pada lewat Khamis malam.
Mohamad juga menyeru negara-negara yang terlibat supaya tidak mengambil langkah yang boleh menutup ruang komunikasi dan sebaliknya duduk bersama untuk berbincang.
"Kita meminta semua pihak jangan 'slam the door' tetapi duduk bersama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.
Jelasnya, Malaysia berpendapat bahawa isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara bersama melalui pendekatan ASEAN, dan bukan oleh setiap negara secara individu.
"Pendekatan dari ASEAN adalah lebih sesuai kerana terdapat banyak negara pesisir seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, dan Kemboja, yang mempunyai tuntutan masing-masing," katanya.
Mohamad turut menegaskan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh kerana telah lama mendaftarkan peta sempadan maritimnya mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
"Undang-undang antarabangsa dengan jelas menyatakan had-had maritim termasuk garisan pantai, garisan hadapan, dan zon ekonomi eksklusif 300 kilometer lebih," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga Laluan Perdagangan Laut China Selatan, yang merupakan salah satu laluan perdagangan paling sibuk di dunia.
Sebarang krisis di kawasan ini, akan memberikan kesan buruk terhadap perdagangan global.
Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan telah menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.
Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau-pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.
Pada Julai 2016, berikutan tuntutan yang difailkan oleh Filipina, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas untuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan. China pula tidak menyertai proses timbang tara itu.
-- BERNAMA