KERAJAAN JANGKA LEBIH BANYAK PELABURAN DIGITAL PADA 2025 - GOBIND

Menteri Digital Gobind Singh Deo (dua, kiri) pada program pelancaran Akademi Kecerdasan Buatan (AI) Gamuda, di sini hari ini.
11/10/2024 02:23 PM

PETALING JAYA, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan menjangka lebih banyak kemasukan pelaburan digital ke Malaysia pada 2025, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menonjolkan peranan sebagai destinasi pelaburan digital di rantau ini.

“Saya berpendapat kita telah menyaksikan keyakinan meningkat yang diperlihatkan oleh syarikat gergasi teknologi global di Malaysia sebagai destinasi bagi pelaburan mereka.

“Terdapat perbincangan yang berterusan dengan banyak syarikat lain, dan saya menjangka ini akan mencapai kemajuan tahun depan.

“Kita akan melihat lebih banyak pelaburan, yang memberi petanda baik untuk negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Akademi Kecerdasan Buatan (AI) Gamuda, di sini hari ini.

Gobind berkata kerajaan yakin lebih banyak pengumuman mengenai pelaburan akan dilaksanakan selepas beberapa siri pelaburan baharu dalam tempoh lapan bulan lepas.

Pada Khamis, Malaysia menyambut baik cadangan pelaburan berjumlah US$14.7 bilion (US$1=RM4.29) oleh syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) -- Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di sini pada Khamis. 

Anwar berkata Malaysia turut berharap untuk mengukuhkan kerjasama dengan AS dalam industri baharu. 

Sementara itu, Gobind berkata Kementerian Digital turut berharap untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan kesedaran mengenai AI dalam kalangan pelajar di negara ini.

"Kita akan bekerjasama dengan mereka (Kementerian Pendidikan) untuk menentukan bagaimana kita dapat memastikan berupaya melahirkan kesedaran mengenai AI kepada semua sektor, kumpulan berbeza, termasuk pelajar di negara ini," katanya.

-- BERNAMA