KUNJUNGAN PT SEMEN PADANG KE BERNAMA BUKA RUANG PERTUKARAN NILAI JURNALISTIK, INFORMASI
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kunjungan pengamal media PT Semen Padang (Sumatera Barat), Indonesia ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini membuka ruang untuk pertukaran nilai jurnalistik dan informasi antara industri media di kedua-dua negara.
Perwakilan PT Semen Padang Idris S.Sos yang mengetuai delegasi berkata lawatan itu bertujuan meningkatkan polar pemikiran, memberikan pendedahan dan menambah pengalaman.
“Hari ini kami membincangkan bagaimana pelaksanaan (operasi) di Bernama kerana Bernama memiliki media televisyen, radio dan juga media lain di bawah pengawasannya. Maka, kami ingin tahu bagaimana perkembangannya dilakukan supaya delegasi media yang datang dari Sumatera ini bertambah wawasannya.
“Harapan kami supaya pengamal media dari Sumatera Barat dapat membangun dan maju bersama Bernama. Mungkin kita juga boleh saling berkongsi informasi untuk kegunaan bersama. Saya lihat perkara seperti ini boleh dilakukan,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai delegasi 24 pengamal media PT Semen Padang ke Bernama di sini hari ini.
Ketua Persatuan Wartawan Indonesia Sumatera Barat Widya Navis turut menyertai delegasi PT Semen Padang, sebuah perusahaan simen yang mempunyai pemilikan media di Sumatera Barat.
Sementara itu, Ketua Penyiaran Bahagian TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak berkata terdapat keperluan untuk industri media menjalinkan kerjasama dengan negara serumpun khususnya apabila Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Beliau berkata kerjasama itu perlu bagi memperbanyak maklumat dan penghasilan kandungan berita berkaitan ASEAN.
“Jadi dengan kunjungan dari PT Semen Padang, kita lihat satu kerjasama boleh dilakukan untuk kita bertukar berita dan kandungan serta mengenali antara satu sama lain untuk memperkukuh lagi hubungan antara media supaya lebih berdaya saing menghadapi cabaran baharu,” katanya.
Terdahulu, delegasi itu turut dibawa melawat Jabatan Pengarang, Bernama TV, Digital Media dan Bernama Radio untuk melihat secara lebih dekat pengoperasian agensi berita berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Elmi Rizal Elias, Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Nor Baizura Basri, Ketua Radio Azlan Idris, Ketua TV Nor Hamzeela Md Hambali, Editor Media Digital Noor Soraya Mohamad Jamal dan Pengurus Hal Ehwal Korporat Zarina Rozali antara pengurusan Bernama yang menerima kunjungan delegasi berkenaan.
Pada 8 Okt lepas, kumpulan pertama delegasi PT Semen Padang terdiri daripada 23 pengamal media yang diketuai oleh Pesuruhjaya PT Semen Khairul Jasmi yang Ketua Pengarang Harian Singgalang telah mengadakan lawatan ke Bernama.
-- BERNAMA