KERAJAAN CADANG BINA BANYAK TAKUNGAN AIR, SEBAHAGIAN DARIPADA RANCANGAN TEBATAN BANJIR
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang membina takungan air tambahan sebagai sebahagian daripada rancangan tebatan banjir jangka pendek dan jangka panjang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata takungan air baharu berkenaan akan mengurangkan risiko banjir kilat, terutama di Kuala Lumpur.
“Perancangan ini memang sudah ada. Cuma, kita merancang mengikut kemampuan kewangan yang ada, dan apa yang ada itu kita laksanakan seboleh mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Baharu Asia 2024 di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kebanyakan takungan air tersebut akan dibina di Kuala Lumpur di bawah pengawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sudah ada projek yang dijalankan, tapi ada satu projek melibatkan masalah reka bentuk dan kontraktor, dan ini menjejaskan perancangan kita. Kita kena lihat bagaimana pelan pemulihan kita untuk mempercepatkan mana-mana projek yang tergendala disebabkan kegagalan kontraktor,” katanya.
Hujan lebat luar biasa dan berterusan mulai 8.30 pagi tadi di Kuala Lumpur menyebabkan beberapa sungai utama termasuk Sungai Batu, Sungai Klang, dan Sungai Gombak melimpah sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
Menurut DBKL hari ini, taburan hujan melebihi 60 milimeter (mm) direkodkan pada waktu itu, jauh melebihi paras purata.
-- BERNAMA