LALUAN KE ARAH KEMAMPANAN MASA DEPAN PERLU TINDAKAN KOLEKTIF - TPM FADILLAH

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menyampaikan ucaptama pada Asia New Economy Summit 2024 di sini hari ini.
15/10/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Laluan ke arah masa depan yang mampan adalah jelas namun memerlukan tindakan kolektif, kerjasama antarabangsa yang mantap serta komitmen tidak berbelah bahagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjangkakan dunia yang mengimbangi kemakmuran ekonomi dengan penjagaan alam sekitar sedang memacu peralihan tenaga dan kemampanan air, terutama di wilayah yang sedang pesat membangun seperti Asia.

“Kalangan negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, juga mencapai kemajuan yang ketara (dalam penggunaan tenaga boleh baharu),” katanya menerusi ucaptama semasa makan tengah hari di Sidang Kemuncak Ekonomi Baharu Asia di sini, pada Selasa.

Sidang kemuncak itu merupakan anjuran bersama Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Kelab Ekonomi ASEAN dan World Digital Chamber (WDC).

Beliau berkata Vietnam sebagai contoh telah mencatatkan pertumbuhan eksponen dalam sektor tenaga solar dan menjadi pasaran solar terbesar di Asia Tenggara.

Fadillah berkata Malaysia juga telah merintis mekanisme akses grid terbuka dan pembangunan ladang solar terapung menerusi pelaksanaan lelongan solar untuk memaksimumkan kecekapan penggunaan tanah.

Beliau berkata di sebalik kemajuan itu, perlu ditegaskan bahawa rantau ini menghadapi beberapa cabaran dalam usaha peralihan tenaga.

Cabaran itu termasuk keperluan untuk penambahbaikan infrastruktur grid bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk pelaksanaan boleh baharu, terutamanya sumber penjanaan boleh baharu yang berubah-ubah dan bersifat berkala, katanya.

Beliau berkata selain itu, skala pelaburan yang diperlukan untuk peralihan tenaga komprehensif adalah besar.

“Oleh itu, usaha menggerakkan modal, khususnya untuk negara membangun, masih menjadi cabaran,” katanya.

Fadillah berkata kemampanan air semakin menjadi kebimbangan di rantau Asia-Pasifik khususnya di Malaysia, berikutan pembandaran pesat, pertumbuhan penduduk dan kesan perubahan iklim.

Beliau berkata perindustrian pesat dan rawatan air sisa yang tidak mencukupi telah membawa kepada masalah pencemaran air yang ketara di banyak negara Asia.

Bagi menangani cabaran ini, negara di Asia perlu mengguna pakai pendekatan inovatif untuk pengurusan air seperti konsep “Bandar Span” Malaysia di Putrajaya yang menggunakan infrastruktur hijau untuk menguruskan air hujan dan mengurangkan risiko banjir.

-- BERNAMA