LAWATAN SAYA DI XINJIANG SANGAT LUAR BIASA - PENGERUSI BERNAMA
Datuk Seri Wong Chun Wai, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kembali ke Xinjiang selepas 25 tahun untuk menghadiri Sidang Kemuncak Media Dunia ke-6. Perjalanannya yang dipenuhi dengan pembelajaran, refleksi, dan keterujaan, memberikan perspektif baharu terhadap landskap media global yang berkembang pesat serta transformasi luar biasa Xinjiang.
URUMQI (Xinjiang, China), 17 Okt (Bernama-Xinhua) -- “Selepas 14 jam penerbangan, saya akhirnya tiba di sini,” kata Datuk Seri Wong Chun Wai Pengerusi Bernama, menyatakan keterujaannya sebaik tiba di Urumqi, ibu kota Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang di barat laut China.
Wong telah lama menantikan lawatan ini kerana ia menandakan kepulangannya ke wilayah itu selepas 25 tahun. "Saya benar-benar teruja melihat perubahan yang berlaku di sini," kata Wong, menurut laporan Xinhua.
Wong adalah antara lebih 500 wakil daripada 208 institusi, termasuk organisasi media, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa dari 106 negara dan wilayah yang menyertai Sidang Kemuncak Media Dunia ke-6 yang dibuka pada Isnin di Urumqi.
Mengambil maklum bahawa ini adalah kali kedua beliau menghadiri sidang kemuncak itu, Wong memuji acara itu sebagai “platform yang sangat baik untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti media global”.
Sorotan utama bagi Wong ialah perbincangan menarik mengenai kecerdasan buatan (AI) semasa sidang kemuncak itu. “Saya mendapat pandangan berharga daripada pakar, wartawan, peserta, dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia tentang bagaimana kita boleh bekerjasama untuk memanfaatkan AI secara bertanggungjawab dan beretika.”
Bagi Wong, sidang kemuncak tahun ini menawarkan lebih daripada sekadar platform untuk melibatkan diri dengan pemimpin media global -- ia juga merupakan peluang untuk berhubung semula dengan Xinjiang.
Selepas sidang kemuncak itu, para peserta melawat pelbagai destinasi di seluruh Xinjiang untuk mengalami adat dan tradisi tempatan serta berinteraksi dengan komuniti setempat.
Bersama-sama profesional media global yang lain, Wong melawat Kashgar, sebuah hab bersejarah di Laluan Sutera yang kini telah berubah menjadi destinasi pelancongan dengan kelebihan budaya dan geografi yang unik serta laluan yang menghubungkan China ke Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat, dan juga Eropah.
“Lawatan ke sini sangat luar biasa,” kata Wong. “Daripada rakyatnya ke budaya yang kaya, pemandangan yang memukau, serta pertumbuhan mengagumkan Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Xinjiang) di Kashgar -- ia benar-benar menakjubkan.”
Sepanjang perjalanannya, Wong berkongsi pengalamannya di media sosial di mana akaunnya kini mempunyai lebih 12,000 pengikut. Dalam hantarannya, Wong mendokumentasikan interaksi mesra dengan penduduk tempatan dan warisan budaya yang mengagumkan, sambil menyatakan “Saya akan merindui semua ini.”
“Mudah-mudahan, saya akan kembali tidak lama lagi,” katanya.
-- BERNAMA-XINHUA