FAHMI UCAP TAHNIAH, AKAN HUBUNGI MEUTYA BINCANG ISU MEDIA SOSIAL
SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatnya Meutya Hafid yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia untuk membincangkan pelbagai perkara penting termasuk isu media sosial dan keselamatan digital.
Beliau berkata mesyuarat ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun hadapan boleh menjadi platform penting bagi menteri-menteri berkaitan untuk meneliti isu-isu mendesak khususnya berkaitan dengan media sosial, seperti berita palsu dan jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
“Baru-baru ini saya bertemu Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono bagi menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Meutya dan pembentukan Kabinet baharu kerajaan Indonesia selain menyatakan hasrat menghubungi pejabat rakan sejawat dalam masa terdekat.
"Saya pasti ada banyak perkara yang kami boleh bincangkan bersama nanti," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan pada Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk "Literasi Keselamatan Digital" dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Fahmi berkata walaupun ASEAN tidak mempunyai kawal selia berhubung media sosial, seperti Kesatuan Eropah, namun dengan pendekatan bersepadu dalam kalangan negara anggota ASEAN boleh meningkatkan keselamatan Internet untuk keluarga dan kanak-kanak.
Setiap negara boleh mengambil pendekatan terbabit dan disesuaikan mengikut konteks negara masing-masing, katanya.
-- BERNAMA