PENGERUSI ASEAN: MALAYSIA BERHASRAT PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU - TIONG
MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama serantau apabila menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata menerusi kerjasama itu, ia akan meningkatkan inisiatif pelancongan secara kolaboratif, mempromosikan keterhubungan yang lebih baik dan pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara.
"(Misalnya), kementerian akan terus membentuk kerjasama strategik dan kolaborasi dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk menggiatkan promosi dan merangsang permintaan perjalanan.
"Matlamat utama kami ialah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global," katanya ketika berucap pada majlis penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Komersial Scoot Pte Ltd Calvin Chan.
Tiong berkata dari Januari hingga September tahun ini, Malaysia menerima 18.4 juta pelancong antarabangsa, mencatatkan peningkatan 27 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi pelancongan Malaysia yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil memastikan kesejahteraan masyarakat.
"(Sementara itu,) Malaysia menerima sejumlah 6.5 juta ketibaan pelancong dari Singapura dari Januari hingga September 2024 yang merekodkan peningkatan 10.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
"Peningkatan ini menekankan status Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi jiran terdekat kita dan komitmen terhadap nilai kerjasama dan kemakmuran bersama," katanya.
-- BERNAMA