KABINET SETUJU PAVILION NEGERI DIADAKAN PADA PERSIDANGAN ASEAN - MOHAMAD

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Apresiasi Bersama Media sempena MAHA 2024 di sebuah hotel di ibu kota hari ini. Mohamad berkata kabinet bersetuju Pavilion Negeri bakal diadakan pada persidangan ASEAN yang dipengerusikan Malaysia tahun depan.
23/10/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kabinet bersetuju Pavilion Negeri diadakan pada persidangan ASEAN yang dipengerusikan Malaysia tahun depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Beliau berkata perkara yang diputuskan tiga minggu lepas itu ialah penghargaan kerajaan atas kejayaan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diterajui kementerian berkenaan. 

“Atas kejayaan MAHA yang menarik 5.5 juta pengunjung, maka Kabinet mengatakan Pavilion Negeri hendaklah dibuka semasa persidangan ASEAN, supaya ia dijadikan kunjungan delegasi ASEAN di situ.

" … sebanyak 14 negeri akan diminta (terlibat) dan sekarang ini pegawai-pegawai (kementerian) sedang melakukan libat urus dengan kerajaan negeri untuk membuka pavilion itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi bersama Media bersempena dengan MAHA 2024 di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Isham Ishak.

Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada September lepas memaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta beberapa pavilion rumah negeri yang dibina di sekitar pekarangan kawasan MAHA dipertimbangkan untuk dikekalkan.

Fahmi berkata memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan, maka pavilion negeri itu boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi yang datang ke negara ini.

 Ditanya mengenai sasaran bagi penganjuran MAHA yang bakal diadakan pada 2026, Mohamad berkata beliau meletakkan sasaran untuk menggiatkan program MAHA Go Global, dianjur julung kali pada tahun ini, bagi merancakkan pemasaran barang keluaran Malaysia pada peringkat antarabangsa. 

MAHA 2024 yang berlangsung di MAEPS dari 11 hingga 22 Sept merekodkan jualan melebihi RM48.5 juta serta nilai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) lebih RM7.2 bilion.

-- BERNAMA