JOHARI DAN TRAN THANH MAN BINCANG PELUANG KERJASAMA MALAYSIA-VIETNAM
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Meneroka lebih banyak peluang kerjasama dan peranan dalam memastikan ASEAN kekal sebagai blok yang berdaya tahan dan bersatu, antara perkara dibincangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan rakan sejawat Tran Thanh Man pada pertemuan di Hanoi, Vietnam hari ini.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua tokoh sepakat bahawa Malaysia dan Vietnam mempunyai potensi besar khususnya dalam bidang ekonomi hijau, digitalisasi dan inovasi teknologi yang menjadi teras kepada masa depan ekonomi rantau ini.
“Kedua-dua negara komited untuk memperhebatkan usaha ke arah pembangunan mampan yang bukan sahaja penting bagi Malaysia dan Vietnam tetapi juga seluruh komuniti ASEAN.
“Turut dibincangkan peranan penting mereka dalam memastikan ASEAN kekal sebagai blok yang berdaya tahan dan bersatu dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan dua negara itu juga berkongsi visi untuk memastikan ASEAN menjadi blok serantau yang stabil dan makmur serta mengekalkan keupayaannya menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, keamanan serantau, dan pemulihan ekonomi.
Kedua-dua negara turut menekankan kepentingan ASEAN dalam menggalakkan dialog dan kerjasama untuk mencapai kemakmuran bersama.
Johari mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula hari ini atas jemputan daripada Tran Thanh Man.
Lawatan Johari ke Vietnam diiringi delegasi Parlimen Malaysia yang menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-45 di Vientiane, Laos.
“Sambutan yang akrab ini mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Vietnam serta menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.
“Hubungan diplomatik yang kukuh ini bukan sahaja penting dalam mengukuhkan persahabatan dua hala tetapi juga dalam memajukan agenda pembangunan serantau melalui kerangka ASEAN yang semakin signifikan di pentas global,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA