AMCA BERJAYA MENJADI PLATFORM KERJASAMA BUDAYA - TIONG
MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 berjaya menjadi platform mempromosi kerjasama budaya serta persefahaman antara anggota pertubuhan itu dan negara rakan dialog.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata inisiatif yang dibincangkan semasa mesyuarat, termasuk Mesyuarat Pegawai Kanan Kebudayaan dan Kesenian ASEAN ke-20 dan mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog yang berlangsung dari 22 Okt di Melaka, menekankan kepentingan warisan budaya dalam memupuk perpaduan serta kerjasama di rantau ini.
“Tema ini merangkumi empat idea utama yang meraikan kepelbagaian budaya sebagai faktor penyatuan di rantau ini, memperkasakan belia untuk mempromosikan penghargaan dan pemilikan identiti serta warisan budaya ASEAN, mencipta nilai untuk aset budaya dalam ekonomi kreatif selain mempercepat pendigitalan dalam memelihara serta mengekalkan kebudayaan dan kesenian.
“Ia bergantung pada tiga bidang keutamaan iaitu Belia, Ekonomi Kreatif dan Pendigitalan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Selaras bidang keutamaan dalam Ekonomi Kreatif, Tiong berkata Malaysia akan menerajui dua hasil utama iaitu Pembangunan Rangka Kerja Kemampanan Ekonomi Kreatif ASEAN dan Simposium Ekonomi Kreatif ASEAN yang dijadualkan pada awal tahun depan.
“MOTAC bersama Majlis Belia Malaysia berjaya menganjurkan Forum Warisan serta Belia ASEAN sebagai acara sampingan dengan penyertaan lebih 200 belia antarabangsa dan tempatan.
“Festival Seni ASEAN juga akan diadakan pada malam 24 Okt yang menampilkan kepelbagaian tradisi budaya dan seni negara anggota ASEAN, menyediakan platform untuk pertukaran budaya dan persefahaman malah penghibur dari negara rakan dialog serta Timor Leste dijemput turut serta buat kali pertama,” katanya.
Tiong berkata sepanjang dua tahun sebagai Pengerusi AMCA, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai program dan aktiviti kebudayaan bagi merancakkan landskap kebudayaan rantau ini.
Justeru itu, beliau berkata Melaka dipilih sebagai Bandaraya Budaya ASEAN 2024-2026 dengan tiga inisiatif utama iaitu memperdalam identiti bersama ASEAN, menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya ASEAN serta mempamerkan sejarah, budaya, seni dan tradisi rantau ini.
Antara program menarik ialah Festival Sungai Melaka, Festival Seni dan Budaya Antarabangsa, Festival Kraf Tangan Melaka serta Festival Makanan Warisan Melaka.
“Penganjuran Mesyuarat AMCA di Melaka juga signifikan memandangkan negeri ini sedang menganjurkan kempen Tahun Melawat Melaka 2024.
"Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan meningkatkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan kebudayaan yang dinamik,” katanya.
-- BERNAMA