AMCA KETENGAH TIGA INISIATIF PERKUKUH KERJASAMA BUDAYA

-- fotoBERNAMA (2024)
24/10/2024 10:29 PM

MELAKA, 24 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 serta Mesyuarat Pegawai Kanan Kebudayaan dan Kesenian ASEAN ke-20 mengetengahkan tiga inisiatif bagi memperkukuh kerjasama dan persefahaman antara negara peserta, termasuk rakan dialog.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata agenda itu akan menangani tiga penting termasuk hala tuju strategik untuk kerjasama kebudayaan dan kemas kini program kebudayaan yang sedang berjalan.

“Keduanya, membincangkan cadangan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Peringkat Tertinggi berkenaan Pelan Strategik Kebudayaan dan Kesenian ASEAN pasca-2025,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Rasmi AMCA dan Festival Kesenian ASEAN (AFA) 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini malam ini.

--fotoBERNAMA (2024)

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Ab Rauf berkata mesyuarat AMCA juga berfungsi sebagai platform penting bagi memperkukuh kerjasama kebudayaan dan persefahaman antara negara anggota ASEAN dan rakan dialog mereka.

“Inisiatif ini menekankan kepentingan warisan budaya dalam memupuk perpaduan dan kerjasama di rantau kita.

-- fotoBERNAMA (2024)

“Kami teruja untuk menghimpunkan negara anggota ASEAN dan rakan dialog, termasuk China, Jepun dan Korea Selatan untuk memperkukuh hubungan kebudayaan dan kerjasama kesenian,” katanya.

Beliau berkata memandangkan Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi AMCA-MY dari 2024 hingga 2026, Melaka juga akan diiktiraf sebagai Bandaraya Budaya ASEAN.

“Saya percaya, dengan menjadi tuan rumah mesyuarat AMCA, ia akan membawa pelbagai manfaat, termasuk meningkatkan profil Malaysia dalam kalangan komuniti ASEAN, memupuk kerjasama serantau dalam kebudayaan dan kesenian serta mempamerkan kekayaan kepelbagaian budaya kita.

“Memilih Melaka sebagai tuan rumah adalah selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024, meningkatkan peluang untuk mempromosi Melaka dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kebudayaan yang dinamik,” katanya.

-- BERNAMA