AFA PLATFORM TONJOL IDENTITI BUDAYA, PROMOSI KERJASAMA NEGARA ANGGOTA ASEAN

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tujuh, kanan) bersama delegasi ASEAN pada persembahan di Festival Kesenian ASEAN (AFA) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 di Banda Hilir, malam tadi. Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (enam, kanan).
25/10/2024 04:25 PM

MELAKA, 25 Okt (Bernama) -- Festival Kesenian ASEAN (AFA) yang berlangsung di Dataran Pengkalan Rama di sini malam tadi, bukan sahaja menyediakan platform menonjolkan identiti budaya tetapi juga mempromosikan kerjasama dan pemahaman antara negara anggota.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan AFA juga merupakan jambatan budaya yang mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN.

“Koreografi komprehensif menggambarkan kronologi sejarah dan budaya ASEAN yang menggabungkan elemen penyatuan daripada setiap wakil negara, menjadikannya persembahan amat menarik.

Penari dari negara Vietnam mempersembahkan tarian kebudayaan mereka pada Makan Malam Rasmi AMCA dan Festival Kesenian ASEAN (AFA) 2024 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 di Dataran Pengkalan Rama, hari ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pelbagai genre, daripada tradisional hingga kontemporari memastikan setiap negara dapat mengekspresikan keunikan mereka meraikan kesatuan dalam kepelbagaian,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan penganjuran AFA diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Melaka sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11.

Festival itu juga menampilkan penyertaan daripada kumpulan kebudayaan daripada negara anggota ASEAN, serta negara rakan dialog Jepun dan negara pemerhati Timor Leste.

Acara berkenaan melibatkan 73 artis budaya tari dari sembilan negara ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta penyanyi jemputan dari Jepun dan Timor Leste. 

“Lebih menarik Malaysia telah membawakan persembahan muzikal berjudul ‘Pengembaraan Lima Bersaudara’ yang merangkumi pelbagai elemen bertemakan pengembaraan Hang Tuah dan lima bersaudara itu ke setiap negara ASEAN mengikut tahun penyertaan mereka, bagi melengkapkan satu arca istimewa.

“Di setiap negara ASEAN yang disinggahi, akan menampilkan persembahan istimewa dari negara itu dan di akhir penceritaan, arca yang lengkap dipersembahkan sebagai simbolik kepada tema ASEAN Unity,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA