SAMBUTAN DUA TAHUN KERAJAAN MADANI DI MITEC PADA 22 HINGGA 24 NOV - FAHMI
PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata program sambutan dua tahun kerajaan MADANI bakal diadakan selama tiga hari bermula 22 Nov ini, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata keputusan itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Ia mengambil sempena tarikh Perdana Menteri mengangkat sumpah (memegang jawatan itu) iaitu pada 24 Nov 2022. Perincian kepada aturcara akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Tahun lepas sambutan Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan pada 8 hingga 10 Dis di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang menarik kehadiran lebih 230,000 pengunjung.
Sementara itu mengulas tentang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, Fahmi berkata pihaknya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memastikan semua lokasi mesyuarat dilengkapi dengan kemudahan internet berkelajuan 5G.
“Semua lokasi mesyuarat ASEAN diadakan sama ada di peringkat pegawai tertinggi atau menteri mesti dilengkapi dengan kemudahan Internet berkelajuan 5G. Jadi ini sedang diusahakan oleh pihak Kementerian Komunikasi,” katanya.
Beliau turut mengulangi pemakluman bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) masing-masing telah dipilih sebagai media rasmi dan media penyiar utama bagi kepengerusian ASEAN 2025.
“Saya percaya dengan pemilihan RTM dan BERNAMA bagi siri mesyuarat ASEAN yang akan diadakan sepanjang 2025, semua rakan-rakan media dari dalam dan luar negara akan dapat diselaraskan dengan lebih baik dalam memastikan penyampaian maklumat yang lebih tepat,” katanya.
Fahmi turut mengambil kesempatan untuk mewakili Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu yang meraikannya pada 31 Okt ini.
-- BERNAMA