ASEAN 2025: INDUSTRI PELANCONGAN TEMPATAN DIGESA REBUT PELUANG
PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Pengendali pelancongan tempatan digesa merebut peluang daripada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia dan Forum Pelancongan Dunia dan ASEAN tahun depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan berkata tahun hadapan akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek berkaitan pelancongan yang menyokong pemulihan penuh pascapandemik dan memperkukuh kembali sektor pelancongan.
Menurut kenyataan itu, Tiong melawat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan menghadiri sambutan Hari Pelancongan Sedunia di Georgia bulan lepas dan Malaysia secara rasmi menerima hak penganjuran acara tersebut untuk tahun hadapan pada sambutan itu.
Beliau turut bertemu rakan sejawatnya dari Bahrain dan Uzbekistan pada sambutan itu buat kali kedua untuk membincangkan kerjasama pelancongan dan budaya.
Tiong dalam kenyataan sama berkata Uzbekistan menyatakan minat untuk menandatangani perjanjian dengan Malaysia bagi mempromosikan Melaka dan kawasan sekitarnya kepada rakyat negara itu sempena Hari Pelancongan Sedunia di Melaka tahun hadapan.
Sementara Bahrain bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja bersama Malaysia bagi pelaksanaan projek masa hadapan termasuk membangunkan pasaran pelancongan mesra Muslim di Bahrain, selain meminta bantuan Malaysia untuk menghubungkan negara itu dengan pasaran Muslim di China, katanya.
Tiong berkata beliau turut menyebut semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia akan memudahkan Sidang Kemuncak ASEAN melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)+China bagi memperkukuh kerjasama tiga hala.
"Inisiatif pelancongan mesra Muslim yang melibatkan Malaysia, Bahrain dan China boleh menjadi model bagi kerjasama ini," katanya.
-- BERNAMA