KEPENGERUSIAN ASEAN: KERAJAAN PERTIMBANG WUJUD PROGRAM ANTARA UNIVERSITI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini.
01/11/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan program mempertemukan universiti atau institut latihan pertahanan antara negara Asia Tenggara bagi mengadakan aktiviti bersesuaian sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program berkenaan boleh dilangsungkan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2025. 

“Mungkin sempena mesyuarat menteri pertahanan, diadakan satu program antara universiti atau institusi pertahanan untuk melibatkan mereka (penuntut) satu pendedahan yang baik, mungkin kita bawa satu atau dua menteri pertahanan lain ke universiti ini untuk pendedahan,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini sebagai reaksi kepada soalan moderator Dr Jessica Ong mengenai peluang untuk penuntut UPNM terlibat sama dalam khidmat komuniti sempena Kepengerusian ASEAN. 

Perdana Menteri berkata Malaysia diletakkan harapan tinggi dalam mempengerusikan ASEAN kali ini, dengan beberapa mesyuarat terbesar akan dianjurkan pada tahun hadapan termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC). 

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Jan 2025. 

-- BERNAMA