REFORMASI KEINSTITUSIAN MAJLIS SAINS NEGARA PASTIKAN PEMUGARAN BIDANG STI - PM
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Penubuhan Panel Penasihat Pakar Majlis Sains Negara serta Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Sains Negara adalah bertujuan memastikan agensi itu kekal relevan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penubuhan panel penasihat serta jawatankuasa berkenaan adalah langkah reformasi keinstitusian yang wajar dilaksanakan melalui pemugaran bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
Perdana Menteri berkata dalam usaha memastikan penyelarasan penyelidikan dan pembangunan lebih meluas, penyertaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan selain universiti adalah penting agar perancangan dapat diselaras dengan agenda negara.
“Semoga gerak kerja di bawah Majlis Sains Negara ini akan mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam bidang foresight dan penggerak transformasi STI ASEAN serta menjadi rujukan utama bagi merangka Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026-2035 menjelang Kepengerusian ASEAN 2025,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara Bil. 2/2024 iaitu agensi yang ditubuhkan khas bagi menetapkan hala tuju dasar dan pengukuhan ekosistem STI dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA