MALAYSIA BAWA USUL KELESTARIAN ALAM SEKITAR PADA KEPENGERUSIAN ASEAN TAHUN DEPAN

06/11/2024 06:05 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia akan membawa usul kelestarian alam sekitar khususnya mengenai sisa plastik pada Kepengerusian ASEAN tahun hadapan memandangkan banyak negara ASEAN terkesan dengan masalah sama.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia akan memimpin usaha untuk memperkenalkan pelbagai langkah lebih tegas serta dasar lebih ketat dalam menangani isu itu di peringkat rantau ASEAN.

Pada peringkat negara, beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membawa cadangan hala tuju pengurangan kuota import sisa plastik kepada kementerian dan agensi lain selaras dengan hasrat untuk menumpukan kepada industri pertumbuhan tinggi serta bernilai tinggi.

Memandang serius laporan media Jerman, Deutsche Welle dan radio tempatan, BFM pada Ahad lepas yang mendakwa Malaysia adalah pengimport sisa plastik kedua terbesar dari Kesatuan Eropah (UE), Nik Nazmi berkata Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dianggotai beberapa kementerian menetapkan kuota import sisa plastik sebanyak 350,000 tan setahun pada 26 Okt 2018 dan kuota itu masih terpakai hingga kini.

“Sejak itu pelbagai sekatan telah dikenakan bagi memastikan hanya sisa plastik bersih dan homogen diimport masuk ke Malaysia, malah kerajaan turut menetapkan supaya nisbah sumber import yang dibenarkan hanya 70 peratus berdasarkan kapasiti kilang manakala selebihnya perlu menggunakan sisa plastik tempatan bagi merancakkan sektor kitar semula tempatan,” katanya.

Beliau berkata NRES turut memandang serius mengenai kegiatan pengimportan sisa secara haram ke negara ini dan akan melaksanakan perwakilan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar kepada Polis Diraja Malaysia bagi jenayah alam sekitar melibatkan sisa plastik.

“Pelbagai usaha berterusan sedang dilaksanakan dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk membanteras pengimportan sisa haram ke negara ini. Perwakilan kuasa yang akan diperkenalkan ini adalah tindakan drastik,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia menyambut baik langkah EU yang akan mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa khususnya sisa plastik ke negara bukan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mulai tahun depan.

“Sudah tiba masanya Malaysia selaku negara yang sering menjadi destinasi utama pengimportan sisa secara haram ini memandang serius mengenai isu penjajahan sisa dan negara maju perlu mengikut jejak EU untuk mengurangkan janaan sisa serta menguruskan sendiri sisa yang dijanakan,” katanya.

-- BERNAMA