MALAYSIA TERUS GESA HAD KUASA VETO, KEMBALIKAN KREDIBILITI UNSC - MOHAMAD ALAMIN
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia akan terus menggesa supaya kuasa veto dihadkan atau dimansuhkan sama sekali bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti dan peranan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata terdapat keperluan yang mendesak bagi memastikan peranan UNSC kekal relevan dan responsif terhadap konflik global semasa.
“Memang kita sedar bahawa apa yang kita perlukan ialah reformasi. Kita perlu mengusulkan satu perubahan total terhadap UNSC yang nampak memang gagal untuk melaksanakan apa jua keputusan yang dibuat.
“Jadi perlu usaha-usaha sebegini dibuat secara bersama, semua negara sepemikiran dengan kita, kena bersatu untuk mencadangkan satu perubahan total perlu dibuat kepada UNSC ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Malaysia telah menekankan bahawa reformasi UNSC adalah wajar dan penting supaya kuasa veto tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh Anggota Tetap UNSC bagi melindungi kepentingan sendiri dan sekutu-sekutu mereka.
Mohamad berkata kuasa veto yang sedia ada menjadi punca kegagalan UNSC melaksanakan mandatnya dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat.
“Dalam konteks Palestin, Malaysia menggesa supaya veto bersyarat dilaksanakan supaya ia tidak boleh digunakan dalam situasi jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kimanis itu berkata Malaysia akan menyatakan komitmen dan memberikan sokongan mutlak ke atas usaha merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Mohamad berkata perkara itu akan dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh pada 11 Nov ini, untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.
“Selain itu, Israel harus menghentikan serangan ke atas Lubnan dan Iran, serta perlu dipertanggungjawabkan ke atas pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya sambil menambah setakat semalam, konflik di Gaza telah mengorbankan 43,400 rakyat Palestin termasuk 16,500 kanak-kanak dan 102,300 rakyat Palestin dilaporkan cedera.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya perlu mengkaji dan meneliti secara mendalam mengenai saranan bagi menamakan semula Laut China Selatan kepada nama lain seperti Laut Asia Tenggara atau Laut Melayu.
Beliau berkata segala tindakan yang diambil perlu selaras dengan amalan antarabangsa serta pemakaian undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.
-- BERNAMA