ISU PALESTIN, PENGGULUNGAN RUU PERBEKALAN 2025 TUMPUAN MINGGU KEEMPAT DEWAN RAKYAT

08/11/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin menjadi tumpuan minggu keempat Persidangan Dewan Rakyat apabila Malaysia sekali lagi membangkitkan pendirian tegasnya dalam memperjuangkan hak dan keadilan untuk Palestin.

Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi penerangan di Dewan Rakyat yang memaklumkan beliau menerima jemputan daripada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi menyertai Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 Nov ini, untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Anwar berkata kehadiran beliau ke sidang kemuncak tergempar di Riyadh itu bagi membawa mandat Dewan Rakyat, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

Persidangan minggu ini juga menyaksikan seramai 156 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas selesai membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar yang berlangsung selama lapan hari sejak 21 Okt lepas.

Antara isu menarik dibangkitkan dalam perbahasan minggu ini ialah mengenai isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), apabila beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu pengurusan dan tatakelola dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang perlu ditangani segera.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu Jawatankuasa Parlimen Khas Untuk Reformasi GLC dan GLIC, dengan perlu adanya langkah-langkah perlindungan dan proses pemantauan yang rapi.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang mencelah perbahasan Ahli Parlimen Bandar Kuching itu.

“Bolehkah melalui Yang Berhormat, kita tanya menteri ada tak kelulusan daripada MOF (Kementerian Kewangan) diperolehi oleh GLC atau GLIC ini. Lepas itu, semasa FashionValet ini menjual sahamnya adakah mendapat clearance daripada pihak MOF atau Khazanah? Boleh saya tumpang (untuk masukkan perkara ini dalam ucapan perbahasan),” kata Ramli.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut menyaksikan 13 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri selesai menjawab perbahasan rang undang-undang itu pada sesi penggulungan yang bermula pada Rabu.

Ia melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Ekonomi; Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Luar dan Kementerian Kerja Raya.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Belia dan Sukan.

Turut mendapat perhatian minggu ini ialah sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yang diberikan mandat oleh Perdana Menteri untuk menjawab soalan dan isu berkaitan dengan hal ehwal masyarakat India dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Secara keseluruhan, persidangan minggu ini berlangsung tenang namun sedikit kecoh selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul untuk merujuk Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan bersifat tuduhan yang dianggap mengelirukan dewan.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kemudiannya meminta Ahli Parlimen Pendang itu untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan penemuan wang tunai sebanyak RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri, atau membuat permohonan maaf.

Sementara itu, minggu ini juga menyaksikan Parlimen melaksanakan Program Kesejahteraan Kesihatan Bersama Ahli Parlimen untuk mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan wakil rakyat Malaysia yang bermula pada 6 hingga 14 Nov ini. 

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin dengan 14 lagi kementerian dijadual menjawab perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang berlangsung selama dua hari, sebelum rang undang-undang itu dibahas Ahli Parlimen di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 Nov untuk diluluskan Dewan Rakyat.

Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA