PEMIMPIN CHINA SECARA RASMI DIJEMPUT HADIR SIDANG KEMUNCAK ASEAN-GCC - FAHMI

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media mingguan Kabinet, di Kementerian Komunikasi hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
08/11/2024 06:30 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 secara rasmi menjemput pemimpin China untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) tahun depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata jemputan itu telah dipanjangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang pada lawatan kerjanya ke China yang berakhir semalam.

"Ini membuktikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, berdagang dengan mana-mana negara yang ingin berdagang, dan bersahabat dengan mana-mana negara yang ingin bersahabat.

"Dengan hubungan yang baik ini sudah pasti (ada) limpahan positif kepada rakan-rakan dalam lingkungan ASEAN juga nanti, Insya-Allah," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Sementara itu Fahmi berkata Perdana Menteri akan mempunyai jadual yang sibuk, menghadiri beberapa siri lawatan rasmi dan persidangan bermula esok.

Fahmi berkata esok Perdana Menteri akan berlepas ke Kaherah, Mesir untuk lawatan rasmi dan bertemu Presiden Abdel Fattah el-Sisi.

Beliau berkata kemudiannya Perdana Menteri dijadual berangkat ke Riyadh, Arab Saudi pada 11 Nov untuk meghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam bagi membincangkan isu berkaitan Palestin. 

"Beliau kemudian akan ke Lima, Peru untuk Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 14 Nov.

"Ini diikuti dengan Rio de Janeiro, Brazil untuk sidang Pemimpin ekonomi utama Kumpulan 20 (G20) atas jemputan pengerusi G20 kerana Malaysia pengerusi ASEAN (tahun 2025). Perdana Menteri akan pulang ke tanah air selepas lawatan tersebut, " katanya. 

-- BERNAMA