KUASA BELIA DILIHAT SEBAGAI KUNCI MASA DEPAN ASEAN-CHINA

Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab berucap pada Festival Belia 'Gen Z' China-ASEAN dan Aktiviti Pertukaran Budaya, di Kunming, China hari ini.
08/11/2024 07:01 PM

Daripada Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUNMING (China), 8 Nov (Bernama) -- Belia memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan hubungan ASEAN-China dengan potensi mereka dilihat sebagai kuasa penggerak kepada perubahan masyarakat dan pengukuhan hubungan serantau.

Konsul Jeneral Malaysia di Kunming Muhamad Akmal Abdul Wahab menegaskan bahawa golongan muda bukan sahaja penting untuk pertumbuhan negara dan ekonomi, tetapi juga berfungsi sebagai penghubung penting dalam memupuk hubungan ASEAN-China yang lebih erat.

“Belia merupakan masa depan, golongan muda mempunyai kuasa besar untuk membentuk masyarakat dan memacu perubahan positif. Mereka bukan sahaja tonggak pembangunan dan ekonomi negara, tetapi juga ikatan yang mengukuhkan hubungan ASEAN-China,” katanya dalam ucapan pada Festival Belia ‘Gen Z’ dan Aktiviti Pertukaran Budaya China-ASEAN di sini hari ini.

Pada 11 Okt, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima palu Pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, menandakan penyerahan simbolik peranan itu.

Muhamad Akmal turut menekankan kepentingan menggalakkan kesefahaman dan kepercayaan antara belia ASEAN dan China, terutamanya dalam era mencabar hari ini.

“Menyatukan golongan muda melalui pertukaran budaya memperdalam pemahaman dan kepercayaan mereka terhadap budaya dan nilai masing-masing. Acara seperti festival ini menyediakan peluang penting untuk pembelajaran bersama dan kerjasama dalam kalangan belia,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Diplomasi Awam China Wu Hailong menyatakan harapan bahawa program ini akan menggalakkan persefahaman dan integrasi yang lebih baik antara rakyat ASEAN dan China.

“Saya percaya belia adalah kuasa penting dalam menggalakkan pertukaran dan kerjasama antara China dan ASEAN dan mereka juga merupakan masa depan hubungan dua hala,” katanya sebelum merasmikan festival itu.

Festival bertemakan “Promoting Cooperation through Cultural Exchange for Shared Growth and Friendship” bermula hari ini hingga Nov 10 yang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN.

Antara aktiviti termasuk perlawanan persahabatan bola keranjang, lawatan, perhimpunan besar belia dan karnival makanan dan budaya.

-- BERNAMA