PM ANWAR BERLEPAS KE RIYADH HADIRI MESYUARAT KHAS ISU PALESTIN, LUBNAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama penuntut dari Malaysia ketika mengadakan lawatan ke Wisma Seri Pinang bangunan asrama pelajar Negeri Pulau Pinang Universiti Al Azhar sempena lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir di Pusat Persidangan Al Azhar. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri l, Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (tiga, kiri) dan Duta Besar Malaysia Ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian (lima,kiri).
11/11/2024 02:38 AM

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang dijadual berlangsung esok.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas pada pukul 7.17 malam Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

“Insya-Allah esok, saya akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan,” katanya dalam kenyataan ringkas sebelum berlepas.

Menurut Anwar, setelah selesai sidang itu, beliau akan kembali ke Kaherah untuk meneruskan beberapa program yang telah dijadualkan bersama delegasi Malaysia dan Mesir.

Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa mengadakan kunjungan singkat ke Wisma Seri Mutiara, bangunan asrama bagi anak-anak pelajar Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif.

“Alhamdulillah saya dapat menyantuni anak-anak yang belajar di sini dan menitipkan pesan kepada mereka agar menuntut ilmu dengan baik dan menjaga nama Malaysia,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Ketika lawatan itu, Anwar turut menyaksikan penyerahan dana berjumlah RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang, yang terletak bersebelahan dengan bangunan baharu.

-- BERNAMA