MALAYSIA SEDIA ANJUR MESYUARAT PENYELARASAN PERTAMA MALAYSIA-ARAB SAUDI, KUKUH KERJASAMA
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama antara Malaysia dan Arab Saudi di peringkat Menteri Luar bagi membincangkan kerjasama lebih mendalam antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara ini dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, yang dikongsikan melalui catatan di Facebook hari ini.
“Dalam pertemuan ini, kami membincangkan pelbagai aspek hubungan Malaysia-Arab Saudi yang perlu diperluas, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Ini termasuk kerjasama dalam beberapa sektor baharu, antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih, serta petrokimia.
“Kami juga sempat bertukar pandangan mengenai situasi serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” kata Anwar.
Menurut Perdana Menteri, beliau optimis bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Kerajaan Arab Saudi atas penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam serta usaha berterusan membantu umat Islam yang ditindas.
“Kesempatan yang ada juga saya gunakan untuk menjemput Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) di Kuala Lumpur,” katanya.
Anwar tiba di Riyadh, Arab Saudi, semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.
Kehadiran Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu adalah untuk menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis Israel di Palestin dan Lebanon.
Anwar dijadualkan kembali ke Kaherah untuk meneruskan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir, yang bermula pada Sabtu lepas.
-- BERNAMA