KETEGASAN PM ANWAR BERI HARAPAN BARU KEPADA DUNIA ISLAM DALAM ISU PALESTIN

Kredit: FB - Anwar Ibrahim
12/11/2024 06:34 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas memperjuangkan hak rakyat Palestin di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam memberi harapan baru kepada dunia Islam dalam isu membabitkan Palestin.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata ia berikutan peranan organisasi Islam seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab dilihat kurang berkesan dalam menangani isu berkenaan pada ketika ini.

Kredit: FB - Anwar Ibrahim

“Kerana kita lihat dunia Arab ini seperti berpecah belah, tetapi Perdana Menteri Anwar tegas malah meminta supaya dikembalikan semula garis sempadan 1967. Ia sesuatu yang memang dipersetujui oleh Liga Arab dan juga organisasi-organisasi yang mewakili Palestin.

“Penyelesaian ke peringkat itu pun sudah begitu bermakna kepada perjuangan rakyat Palestin. Setakat ini tidak ada pemimpin dunia lain yang tegas dan konsisten seperti beliau dalam menuntut keadilan terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Berucap dalam sidang kemuncak itu, beliau turut memberi amaran bahawa jika dunia gagal bertindak, keganasan itu boleh merebak dan membahayakan seluruh kawasan kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.

Selain itu, Mazlan berkata kepimpinan Anwar yang konsisten dalam isu ini juga telah membuka mata masyarakat dunia apabila negara barat seperti Sepanyol dan Perancis turut menyatakan ketidaksetujuan terhadap Israel meskipun mereka bersekutu di dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Malah, Malaysia akan menjadi tuan rumah selaku Pengerusi ASEAN pada tahun depan, sebagaimana kita ketahui sejak Anwar memimpin negara dua tahun lepas, nama Malaysia makin dikenali di peringkat antarabangsa.

Kredit: FB - Anwar Ibrahim

“Peranan ini boleh dimainkan dengan lebih berkesan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan isu rakyat Palestin boleh diketengahkan. Ia akan menjadi lebih berkesan kerana ASEAN ini mempunyai negara yang masing-masing berpengaruh dengan negara-negara barat seperti Indonesia, Singapura, Filipina, dan Thailand,” katanya.

Senada dengan itu, Prof Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, Malaysia akan mendapat liputan luas dalam hubungan luarnya di pentas antarabangsa.

Justeru, Tunku Mohar berkata peluang ini perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membantu usaha mencari penyelesaian berpanjangan terhadap isu-isu membabitkan Palestin.

“Walaupun usaha Malaysia untuk menggantung atau menyingkirkan Israel daripada PBB menghadapi rintangan prosedur (perlukan sokongan Majlis Keselamatan), sekurang-kurangnya ia dapat menarik perhatian komuniti antarabangsa (dan membina sokongan) untuk turut bangun menentang kekejaman rejim zionis Israel,” katanya.

Beliau berkata sidang kemuncak yang baru diadakan semalam adalah satu platform penting untuk menyatukan pandangan dan komitmen negara-negara Islam dan Arab untuk menyelesaikan masalah berpanjangan yang membabitkan Palestin dan Israel. 

Tunku Mohar berkata sidang kemuncak itu juga memberi satu isyarat yang sangat jelas bahawa negara-negara Islam dan Arab bersepakat dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat dan negara Palestin, serta mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel dalam isu ini.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan berkata pihaknya menghargai seruan tegas Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu.

“Sikap tegas ini membuktikan komitmen Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk terus menjadi suara lantang dalam menyuarakan keadilan untuk rakyat Palestin dan mereka yang ditindas di Timur Tengah.

“Kehadiran dan seruan keras beliau untuk tindakan bersama menegaskan keperluan kesatuan dalam kalangan dunia Islam dan masyarakat antarabangsa dalam menangani isu ini secara segera dan berkesan,” katanya.

Kenyataan tegas Perdana Menteri turut mendapat sokongan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) yang menyifatkan ucapan beliau yang berani mencerminkan suara sebenar umat Islam global, yang sudah terlalu lama menyaksikan kezaliman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

Setiausaha Serantau Muslim Muhammad Faeez Azahar dalam kenyataan berasingan berkata seruan Malaysia untuk mengenakan sekatan senjata dan kemungkinan pengusiran Israel dari PBB, langkah yang wajar dan perlu disokong semua pihak.

“Serantau Muslim menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk menyokong cadangan sekatan senjata terhadap Israel, mempertimbangkan pengusiran Israel dari PBB, mempertingkatkan usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza,

“Selain itu, kami juga mendesak hentian segera serangan ke atas rakyat Palestin dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Islam dalam membela nasib Palestin. Kita perlu bertindak sekarang. Seperti kata Perdana Menteri ‘kita mesti menarik garis di pasir, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi sebagai sesama manusia’,” katanya.

-- BERNAMA