TIKTOK BERI JAMINAN JALIN KERJASAMA DENGAN MCMC, BNM TANGANI BULI SIBER DAN ANCAMAN SCAM
Daripada M. Saraswathi
LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) -- Platform media sosial TikTok memberi jaminan akan melihat permasalahan seperti buli siber dan ancaman scam selain menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani isu itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkan semasa beliau bertemu dengan delegasi TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew di sini hari ini.
"Dalam pertemuan ini, saya bangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Jan tahun depan."
"Saya juga menyentuh isu seperti buli siber, ancaman scam serta budaya fitnah yang berleluasa di Malaysia menerusi TikTok,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata turut dibincangkan ialah kerjasama antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia.
“… dan mereka memberi perakuan (akan) melanjutkan pelaburan secara besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
-- BERNAMA