MOTAC AKAN BINCANG LANGKAH KESELAMATAN BAS PERSIARAN BERSAMA MOT - TIONG
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk berbincang dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan bas persiaran, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Tiong berkata walaupun peraturan bas persiaran tidak terletak di bawah bidang kuasa MOTAC, beberapa kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkenaan memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan.
Beliau berkata sebagai contoh, dua agensi berkaitan pelancongan Jepun, Nankai Electric Railway dan JTB Corporation telah menangguhkan sementara dua pakej pelancongan selepas peserta dalam pakej mereka terlibat dengan kemalangan membabitkan bas persiaran di Taiping, Perak bulan lepas.
“Adalah penting untuk menangani isu-isu ini, terutamanya Nankai Electric Railway merancang untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di dalam kereta api mereka semasa #2025OsakaExpo dan di sepanjang laluan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Haneda Tokyo untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Memastikan inisiatif-inisiatif ini berjalan dengan lancar tanpa ada kebimbangan terhadap keselamatan bas adalah penting. Bagi mengelakkan kemerosotan kepada industri pelancongan yang semakin pulih ketika ini, MOTAC komited untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tiong berkata beliau juga telah bertemu wakil pengarah Nankai Electric Railway Co Naoto Ashibe untuk menyampaikan permohonan maaf secara peribadi di atas kemalangan berkenaan semasa menghadiri Sidang Kemuncak Daya Tahan Pelancongan di Sendai, Jepun baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Tiong meminta Ashibe menyampaikan ucapan takziah kepada pelancong yang terbabit dan memberi jaminan kepada beliau bahawa Tourism Malaysia akan membantu dengan sebarang tuntutan berkaitan yang perlu setelah selesai siasatan polis mengenai kemalangan berkenaan.
Tiong dan Ashibe turut mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan perjalanan bas, termasuk mewajibkan dua pemandu bagi perjalanan melebihi lapan jam, mewajibkan pemandu menjalani ujian alkohol dan dadah sebelum memulakan tugas dan melaksanakan pemantauan video pemandu bagi perjalanan jarak jauh.
Mereka juga mencadangkan untuk mengehadkan jumlah jam pemanduan, menguatkuasakan penggunaan tali pinggang keledar oleh penumpang dan mengurangkan ketinggian bas persiaran.
Pada 25 Okt, media melaporkan seorang wanita warga Jepun berusia 73 tahun meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya selepas bas yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 230 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan sehari sebelumnya.
Dilaporkan 13 orang termasuk 11 warga Jepun berusia antara 58 hingga 80 tahun cedera dalam kemalangan yang berlaku semasa mereka dalam perjalanan ke Cameron Highlands dari Pulau Pinang.
-- BERNAMA