APEC 2024: PM ANWAR SOKONG GLOBAL SOUTH, PAKATAN BUKAN TRADISIONAL BAGI PERTUMBUHAN SAKSAMA
Daripada M.Saraswathi
LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dalam Global South serta memanfaatkan pakatan bukan tradisional dengan menumpu kepada memupuk pertumbuhan dan pembangunan yang saksama.
Beliau yang berucap di pelbagai platform Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) (AELW) di sini, menegaskan bahawa forum itu bukan sahaja perlu melakukan transformasi, tetapi juga menetapkan piawaian tertinggi dalam keupayaannya untuk menyerap kejutan ekonomi dan cabaran iklim.
"Gangguan global bukanlah keadaan yang sementara; ia adalah norma baharu. Ekonomi-ekonomi APEC perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada kerjasama ekonomi yang proaktif dan berdaya tahan," tegas beliau.
Ditambah dengan menjalin perkongsian inovatif dan menggalakkan dasar perdagangan inklusif, beliau berkata 21 negara anggota APEC boleh mewujudkan landskap ekonomi yang lebih saksama dan berdaya tahan yang boleh memberi manfaat kepada semua ahli, tanpa mengira saiz atau kedudukan ekonomi.
Justeru, selain BRICS, yang mana Malaysia kini merupakan negara rakan, forum itu perlu meneroka pakatan bukan tradisional seperti dengan Kesatuan Afrika dan negara Amerika Latin.
"Kerjasama dengan ASEAN, Kesatuan Afrika dan rangkaian digital rentas sempadan boleh membentuk semula daya tahan global kita," kata beliau.
Anwar tiba di negara Amerika Selatan itu yang bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di bahagian utara dan dengan Brazil di sebelah pada 12 November lepas.
Lima, ibu negara Peru dengan penduduk seramai 11.36 juta orang, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC untuk kali ketiga selepas 2008 dan 2016.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Turut menyertai delegasi Malaysia termasuk Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii, serta pegawai kanan kerajaan.
Pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC, Perdana Menteri menyentuh panjang lebar mengenai teknologi dan Kepintaran Buatan (AI) dan keperluan untuk merapatkan jurang digital.
.“Kita tidak boleh membicarakan tentang ekonomi moden tanpa kepercayaan, kemanusiaan, keadilan dan pendemokrasian akses,” kata beliau pada sidang kemuncak tersebut dalam sesi bertajuk, “Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI”, di sini pada Khamis.
Anwar berkata semua peluang yang disediakan di kawasan bandar juga mesti tersedia untuk masyarakat luar bandar dan pedalaman walaupun perlu membuat pelaburan tambahan dalam infrastruktur.
Dalam usaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi secara konsisten, beliau berkata Malaysia komited sepenuhnya untuk memahami dan bertindak balas terhadap keperluan dan jangkaan pelabur.
"Kami bukan sahaja terbuka kepada maklum balas tetapi mendengar secara aktif apa yang diperlukan oleh pelabur untuk memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan dan kejayaan jangka panjang.
"Ini kerana kerajaan tidak boleh menganggap bahawa mereka boleh terus mempelawa dan menarik pelaburan sebegini tanpa bersedia untuk melaksanakan inisiatif utama yang membolehkan agensi pelaburan ini masuk," kata beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru apabila dianugerahkan pingat berprestij "El Sol del Peru."
Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di Istana Kerajaan. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke negara Amerika Latin sejak menggalas jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Menerusi ucapan penerimaannya Anwar berkata Malaysia akan menghargai anugerah ini sebagai simbol persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua negara kita.
Lawatan beliau ke sini juga telah menjana potensi eksport bernilai RM1.24 bilion (US$0.3 bilion), terutamanya dalam sektor berpotensi tinggi atas inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Anwar berkata, syarikat Peru telah menyatakan minat untuk mengimport bahan binaan keluli dan kaca, peralatan dan produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia serta produk makanan dan minuman dari Malaysia.
Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan 22 ketua industri dan pemimpin perniagaan daripada 17 syarikat Peru yang mewakili beberapa industri, termasuk farmaseutikal, peralatan dan produk perubatan, bahan binaan, produk berasaskan kimia, makanan kesihatan dan barangan pengguna.
Setakat ini, kata beliau, syarikat dari Peru telah mengimport barangan Malaysia bernilai RM435.27 juta (US$95.44 juta) dan kerajaan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan nilai eksport Malaysia ke negara tersebut.
Sepanjang lawatan beliau ke sini Anwar juga mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin antaranya Sultan Brunei Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee Ka-chiu.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 negara anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik, mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia dan hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.
Malaysia adalah antara 12 ahli pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai perkumpulan itu pada 1993 kemudiannya diikuti Chile pada 1994 dan Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998 yang menjadikan keahlian penuh kepada 21.
Pada 2025 Korea Selatan akan menjadi Pengerusi Apec.
-- BERNAMA